Translate

Friday, March 11, 2016

RM30 juta ubat duka Shahnaz

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memutuskan Shahnaz Majid, 53, yang me­rupakan kakak kepada penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid la­yak menerima RM30 juta sebagai bayaran mutaah selepas diceraikan bekas suaminya lima tahun lalu.
Pembayaran mutaah itu diberikan selepas Shahnaz me­nuntut RM100 juta daripada bekas suami­nya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, 53, yang merupakan ahli perniagaan dan anak kedua Yang Dipertua Negeri Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati wanita itu layak menerima bayaran mutaah berdasarkan kemampuan kewangan bekas suaminya.
Muhamad Abdul Karim berkata, Shahnaz layak menerima tuntutan itu ekoran kesedihan serta keaiban yang dialami wanita itu akibat perceraian yang telah di­sahkan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 10 Mac 2011.
Menurutnya, tuntutan mutaah yang dibuat sebelum ini iaitu RM100 juta adalah keterlaluan.
“Tindakan defendan (Mahmud Abu Bekir) meninggalkan plaintif (Shahnaz) secara gantung tidak bertali selama 10 tahun sebelum bercerai merupakan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Semoga perintah mutaah ini dapat menghapus duka di hati seorang wanita,” kata Hakim Muhamad Abdul Karim ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Difahamkan perintah pemberiaan mutaah RM30 juta itu merupakan yang tertinggi pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di negara ini.
Shahnaz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Mahmud Abu Bekir dalam kes tuntutan tersebut yang bermula sejak 23 Mei 2013.

Prosiding satu lagi tuntutan nafkah sepencarian seba­nyak RM300 juta yang difailkan Shahnaz terhadap Mahmud Abu Bekir masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Muhamad Abdul Karim berkata, berdasarkan pegangan mazhab Syafie, setiap isteri yang diceraikan wajib menerima mutaah kecuali dia belum pernah di­setubuhi dan kemusnahan rumah tangga tersebut berpunca daripada keaiban wanita itu sendiri.

Beliau berkata, mahkamah juga menerima sebahagian besar ke­terangan saksi pendakwaan iaitu seorang akauntan bertauliah yang menganggarkan defendan memiliki aset sebanyak RM1.33 bilion.
“Plaintif (Shahnaz) yang merupakan graduan ekonomi dari universiti di Amerika Syarikat telah memainkan peranan penting dalam syarikat Sarawak Security yang ditubuh bersama defendan,” katanya.

Muhamad Abdul Karim memerintahkan Mahmud Abu Bekir agar melunaskan tuntutan mutaah itu secara ansuran iaitu sebanyak tiga kali bayaran pada 31 Mac, 30 Jun dan 30 September depan dengan amaun RM10 juta bagi setiap pembayaran.

Shahnaz dan Mahmud Abu Bekir berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud yang kini berusia 23 tahun.

Sementara itu Shahnaz ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah syariah yang mengiktiraf haknya sebagai muslimah.

“Saya juga bercadang untuk mendermakan sebahagian daripada wang mutaah tersebut kepada golongan ibu tunggal, anak yatim dan fakir serta miskin,” katanya.

Zainur Rijal yang mewakili Mahmud Abu Bekir pula berkata, pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah berhubung keputusan tersebut dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment