Translate

Monday, March 14, 2016

Papagomo didenda RM4,300

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhi hukuman denda RM4,300 ke atas blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri  Wan Mohd. Deres ke­rana mence­derakan lelaki Pakistan yang didakwa me­lakukan gangguan seksual terhadap tiga wanita termasuk dua adik perem­puannya.

Majistret Husna Dzulkifly memutuskan demikian selepas Wan Muhammad Azri, 33, yang  merupakan bapa kepada empat orang anak termasuk seorang bayi berusia dua bulan membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan berasingan mencederakan mangsa dibacakan.

Beliau turut memerintahkan hukuman tambahan penjara 10 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Wan Muhammad Azri yang hadir ke mahkamah dengan berambut perang dan berjambang lebat hitam membayar denda tersebut.

Klip video berdurasi 3 minit 55 saat yang memaparkan tertuduh menyerang seorang pekerja warga asing itu turut ditayangkan di mahkamah sebagai salah satu bahan bukti dikemukakan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan tersebut, Wan Muhammad Azri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Khuram Shahzad, 33, dengan menampar dan menumbuk pipi kiri mangsa selain menendang alat sulit lelaki warga asing itu.

Kejadian itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di tingkat dua pusat perniagaan, Starparc Point, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang, 29 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua orang lelaki dan tiga wanita telah mendatangi Khuram yang sedang bekerja sebelum mengarahkan mangsa dan dua rakan sekerjanya yang juga warga asing beratur di hadapan mereka.

Wan Muhammad Azri kemudian menampar dan menumbuk pipi kiri Khuram sebelum menanyakan tentang serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh mangsa terhadap tiga wanita termasuk dua adik pe­rempuan tertuduh.

Khuram telah menafikan dakwaan itu dengan bersumpah atasn nama Allah dalam bahasa Inggeris selepas ditendang dua kali pada bahagian alat sulit oleh Wan Muhammad Azri.

Dia seterusnya terus dimarahi tertuduh dalam bahasa yang tidak difahami mangsa sebelum ditinggalkan dengan amaran agar menghormati rakyat negara ini.

Lelaki warga asing itu kemudian membuat aduan polis sebelum tertuduh kemudian ditahan.

Wan Muhammad Azri didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau ke­dua-duanya jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Sewaktu membuat rayuan, peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff berkata, tindakan anak guamnya bukan membabi-buta sebaliknya ia dilakukan selepas menerima aduan daripada dua adik perempuannya dan seorang lagi rakan wanita mereka yang mendakwa sering diganggu secara seksual oleh pengadu yang sering mengusap dadanya dan memasukkan tangan ke dalam seluarnya sambil memandang mereka.

Wan Muhammad Azri pernah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 bagi membantu siasatan dakwaan memuat naik gambar berbaur perkauman di Facebook berhubung kes pergaduhan membabitkan kecurian te­lefon bimbit di Plaza Low Yat di sini pada 14 Julai 2015.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintah blogger Papagomo membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan memfitnah bekas Ke­­tua Pembangkang itu.

No comments:

Post a Comment