Translate

Sunday, March 13, 2016

Awie cadang hantar representasi kes cederakan Rozana

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam diberi­tahu penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie bercadang untuk mengemukakan representasi (rayuan) kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun pada tahun 2014.

Peguam Hazman Harun yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, memaklumkan mahkamah, ia berikutan terdapat perkembangan terbaharu membabitkan anak guamnya berhubung kes berkenaan.

Majistret Husna Dzulkifly kemudiannya menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh pengurusan bagi kes itu.

“Sekiranya tiada sebarang perkembangan, saya akan menetapkan tarikh perbicaraan pada hari (pengurusan kes) tersebut,” katanya di sini semalam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar.

Pada 15 Februari lalu, Awie yang merupakan vokalis kumpulan rock, Wings membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kelmarin, Awie telah dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan mencederakan Rozana di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor selepas kedua-dua pihak bersetuju agar kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000.

Hos dalam slot bual bicara di sebuah rancangan televisyen itu turut memohon maaf secara terbuka terhadap bekas isterinya tersebut di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Pada 4 Julai 2014, Awie yang popular dengan lagu Tragedi Oktober mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang terhadap pertuduhan mencede­rakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada pukul 1.30 petang, 2 Jun 2014.

No comments:

Post a Comment