Translate

Wednesday, March 9, 2016

Ustaz Kasanova dipenjara setahun, disebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seorang penjual air kesihatan yang mendapat jolokan sebagai Ustaz Kasanova dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar nikah dengan bekas iste­rinya sehingga melahirkan seorang anak  empat tahun lalu.

Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz memerintahkan Mohd. Razis Ismail, 34, menjalani hukuman penjara tersebut selepas mendengar rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Zainor Rashid Hassin.

“Kesalahan yang dilakukan Mohd. Razis adalah berat kerana melibatkan persetubuhan luar nikah yang mencemarkan agama dan institusi kekeluargaan serta merosakkan masyarakat di sebalik imej tertuduh yang mempamerkan diri sebagai seorang ustaz.

“Perbuatan tersebut yang menyebabkan tertuduh digelar dengan panggilan jelik sehingga menjadi viral di media sosial juga telah mendatangkan keaiban kepada golongan ustaz,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Razis yang menjadi buruan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan selama tiga bulan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Nassir dan Hakim Syarie Mohd. Saifullah Hamzah sewaktu dia pertama kali dihadapkan ke dua mahkamah syariah berasingan pada 29 Februari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Razis didakwa melakukan persetubuhan luar nikah dengan wanita berusia 40 tahun di  sebuah hotel di Jalan Haji Hussein di sini antara bulan Mac dan Mei 2012 sehingga melahirkan seorang anak perempuan pada 6 Disember tahun sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau sebatan enam kali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, perkahwinan Mohd. Razis dan wanita itu juga diputuskan sebagai tidak sah dan diperintahkan untuk difaraqkan (berpisah) oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 28 Jun 2011.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang mempunyai lapan orang anak dikesan pernah mengahwini 13 orang isteri dari tahun 2003 hingga tahun lalu.

Tertuduh masih mempunyai lima pertuduhan lain iaitu tiga pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran dan dua pertuduhan melakukan akad nikah tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Mohd. Razis telah mengaku salah atas pendakwaan  berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita  menggunakan status masih bujang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 133 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, Mohd. Razis turut membuat pengakuan bersalah atas pendakwaan melakukan akad nikah tanpa kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah seperti dikehendaki oleh Seksyen 16(2) akta sama dengan dua wanita berbeza iaitu di Golok, Thailand dan Flat Hang Tuah, Jalan Loke Yew di sini masing-masing pada 26 Mei 2012 dan 4 Oktober 2010.

Mohd. Saifullah telah menangguhkan keputusan kelima-lima kes tersebut pada 14 Mac depan bagi membolehkan beliau meneliti hujahan pihak pendakwaan yang baru diterimanya pada Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment