Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA LUMPUR – Seorang jurujual air kesihatan yang mendapat jolokan sebagai Ustaz Kasanova dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran dan dua pertuduhan bernikah tanpa keizinan antara tahun 2010 dan 2012.
Hakim Syarie Mohd. Shaifullah Hamzah memerintahkan demikian selepas menerima pengakuan bersalah Mohd. Razis Ismail, 34, dan kejayaan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.
Beliau berkata, syarat mewajibkan orang Islam untuk memohon keizinan untuk bernikah dan berpoligami dengan pendaftar nikah bukan sekadar bersifat prosedur tetapi juga menjaga kepentingan awam daripada segi urus tadbir, perwalian perkahwinan dan keturunan.
“Tertuduh telah membelakangkan undang-undang demi kepentingan peribadi dengan mengambil kesempatan atas reputasi sebagai ustaz dengan mengahwini wanita-wanita.
“Perbuatan itu menjejaskan kepercayaan masyarakat dan mencemarkan imej agama,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Mohd. Shaifullah menetapkan hukuman denda RM800 dan penjara sebulan bagi setiap pertuduhan yang diarahkan supaya dijalani secara berasingan.
Beliau juga memerintahkan hukuman penjara tambahan sebulan bagi setiap lima pertuduhan jika tertuduh gagal membayar denda.
Mohd. Shaifullah turut mengarahkan hukuman penjara lima bulan yang dikenakan dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 7 Mac lalu.
Mohd. Razis yang pernah mengahwini 13 orang isteri dari tahun 2003 hingga tahun lalu membayar denda itu.
Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman penjara setahun dan enam sebatan atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita berusia 40 tahun hingga melahirkan seorang bayi perempuan.
Pada 29 Februari lalu, Mohd. Razis mengaku bersalah atas tiga pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita berlainan menggunakan status masih bujang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 133 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mohd. Razis juga membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan melakukan akad nikah tanpa kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah seperti dikehendaki Seksyen 16(2) akta sama dengan dua wanita berbeza iaitu di Flat Hang Tuah, Jalan Loke Yew di sini dan Golok, Thailand masing-masing pada 4 Oktober 2010 dan 26 Mei 2012.
Dia mendapat jolokan Ustaz Kasanova kerana menggunakan imej sebagai orang alim untuk memikat wanita-wanita sehingga dapat mengahwini 13 isteri dari tahun 2003 hingga tahun lalu.
No comments:
Post a Comment