Translate

Friday, March 25, 2016

Ketua UMNO cawangan didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO cawa­ngan Jalan Pasar Pudu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap akaun semasa parti pe­ringkat cawangan itu melibatkan amaun RM4,350 dua tahun lalu.

Zamri Redzuan@ Ridzwan, 50, yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Cheras membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Baharuddin Ahmad Kasim.

Berdasarkan pertuduhan, Zamri yang diamanahkan untuk menjaga akaun semasa RHB Islamic Bank milik UMNO cawangan Jalan Pasar Pudu telah melakukan pecah amanah dengan memasukkan cek bernilai RM4,350 ke dalam akaun simpanan peri­badinya di Maybank pada 27 Januari 2014.

Cek terbabit sepatutnya diserahkan kepada butik busana, Mun Men’s Wear sebagai upah menjahit pakaian tetapi ia tidak dibayar sepenuhnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd. Nasir membenarkan Zamri dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta syarat tambah iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 22 April depan.

Zamri yang mempunyai empat orang anak membayar wang jaminan tersebut.

No comments:

Post a Comment