PETALING JAYA – Tiga remaja termasuk seorang juvana mengubah pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini semalam atas pertuduhan mengaibkan kehormatan dua pelajar sekolah menengah dengan menyuruh mereka menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar pada akhir Januari lalu.
Lim Koo Boo Kean, 19, yang merupakan pelajar kolej swasta; lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Tan Jze Keong, 18, dan seorang tertuduh bawah umur membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali di hadapkan ke mahkamah pada 5 Februari lalu.
Fadzlin Suraya menetapkan 14 April depan sebagai tarikh jatuh hukum terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Dalam prosiding sama yang dijalankan secara tertutup, beliau turut menjatuhkan hukuman terhadap tiga tertuduh juvana lain dalam kes tersebut.
Bagaimanapun hukuman tersebut tidak didedahkan kerana tertuduh merupakan pesalah bawah umur selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Keenam-enam tertuduh termasuk Jze Keong dan Boo Kean didakwa mengaibkan kehormatan dua remaja berusia 15 tahun dengan menyuruh mereka bersujud sambil menjilat jalan raya di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea di sini pada pukul 1 petang, 29 Januari lalu.
Kosmo! 3 Februari lalu melaporkan, tindakan sekumpulan enam remaja membuli dua pelajar SMK Taman Sea dengan memaksa mereka menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar mengundang padah apabila kesemuanya ditahan polis.
Kes buli itu didakwa berpunca daripada tindakan kedua-dua mangsa merakam tanpa kebenaran gambar seorang gadis yang merupakan rakan kepada kesemua tertuduh.
Klip video berdurasi 34 saat yang memaparkan kejadian buli itu kemudian menjadi viral di laman sosial sejak 31 Januari lalu.
No comments:
Post a Comment