Translate

Monday, March 21, 2016

Penganggur curi telefon bimbit diperintah bela diri

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang penganggur mem­bela diri atas­ pertuduhan mencuri satu unit telefon bimbit yang telah dikaitkan dengan rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini lapan bulan lalu.
Majistret Nur A’mi­nahtul Mardiah Md. Nor memutuskan demikian terhadap Shahrul Anuar Abdul Aziz (gambar), 23, selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne telah berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mende­ngar hujahan pihak pendakwaan dan pem­belaan serta keterangan 10 saksi pendakwaan yang telah dipanggil sejak kes itu pertama kali didengar di mahkamah pada 14 Julai tahun lalu.

“Tarikh perbicaraan bagi saksi pembelaan ditetapkan pada 12 April hingga 14 April depan,” katanya di sini semalam.

Shahrul Anuar yang diwakili barisan peguam bela iaitu Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, Mohammad Yahya Zakaria dan Ihsan Busyro Zakaria membuat pilihan untuk memberi ketera­ngan secara bersumpah di kandang saksi yang turut membolehkan dia disoal balas pihak pendakwaan.

Mohd. Khairul Azam berkata, pihak pembelaan dijangka mengemukakan dua orang saksi pembela­an.
Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Anuar didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenama Lenovo S860 berwarna hitam bernilai RM800 milik Techasia Boutique di Plaza Low Yat pada pukul 4.47 petang 11 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment