Translate

Thursday, March 17, 2016

Sharhan berdepan tuduhan baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Penceramah dan pengamal perubatan Islam terkenal, Ustaz Sharhan Shafie, 40, dan isterinya, Umi Masjuri Hassan, 41, bakal menghadapi pertuduhan bernikah tanpa keizinan pendaftar perkahwinan pada tiga tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.
Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin berkata, Pejabat Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memutuskan demikian selepas meneliti representasi yang dikemukakan Sharhan, Umi Masjuri dan seorang lagi tertuduh, Masbelinda, 22, yang juga adik perem­puan tertuduh kedua menerusi peguam syarie, Mohamad Isa Abd. Ralip pada 21 Disember tahun lalu.
“Pertuduhan baharu terhadap tertuduh pertama (Sharhan) dan tertuduh kedua (Umi Masjuri) tersebut adalah mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
“Pada masa sama, Pejabat Pendakwaan Jawi turut menarik balik pertuduhan berkhalwat terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas meneliti dokumen sokongan pihak pembelaan dalam representasi dikemukakan pihak pembelaan,” katanya kepada Hakim Syarie Ibrahim Deris di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Zainor Rashid berkata, antara faktor pengguguran pertuduhan berkhalwat tersebut ialah status perkahwinan antara Sharhan dan Umi Masjuri te­lah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini menerusi Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain pada 26 Ogos tahun lalu.
Sehubungan itu, Ibrahim memutuskan untuk melepas dan membebaskan Sharhan, Umi Masjuri dan Masbelinda daripada perdakwaan berkhalwat dan mengarahkan wang jaminan RM3,000 yang dikenakan pada setiap tertuduh dikembalikan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan untuk Masbelinda, dia didakwa berkhalwat bersama Sharhan di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa di sini pada pukul 2.55 pagi, 24 Ogos 2013.
Masbelinda didakwa mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sharhan dan Umi Masjuri pula didakwa di bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) akta sama.
Sementara itu, Zainor Rashid yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, pertuduhan baharu iaitu bernikah tanpa keizinan pendaftar perkahwinan terhadap Sharhan dan Umi Masjuri itu telah difailkan di kaunter Pendaftaran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Kosmo! 29 Ogos 2015 melaporkan Sharhan me­ngaku dia telah bernikah dengan Umi Masjuri kira-kira lima bulan sebelum ditangkap berkhalwat.
Dia yang sering dijemput untuk memberi ce­ramah di program popular Tanyalah Ustaz di stesen TV9 mendakwa menikahi isterinya itu dengan berwalikan abang kandung wanita berkenaan di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa di sini pada Mac 2013.

No comments:

Post a Comment