Translate

Sunday, February 28, 2016

Pendakwaan panggil 60 saksi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seramai 60 saksi pendakwaan bakal ditampilkan dalam perbi­caraan kes tujuh lelaki termasuk seorang bekas doktor tentera berpangkat kolonel didakwa membunuh Timbalan Ketua Bahagian Bi­cara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais. Kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini bermula 4 April depan.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Abdul Razak Musa, 700 keping gambar akan turut dikemukakan kepada mahkamah sepanjang prosiding perbicaraan terbabit.

“Selain itu, sebanyak 79 fail bakal dikemukakan sebagai dokumen menguatkan bukti pendakwaan,” ujarnya kepada Azman di sini semalam.
Mengikut pertuduhan, Dr. R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan bekas doktor tentera berpangkat kolonel didakwa bersubahat membunuh Morais, 55, yang dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya di sini ke alamat No. 1, Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, Selangor antara pukul 7 pagi hingga 8 malam pada 4 September 2015.

Tertuduh pertama didakwa me­lakukan kesalahan mengikut Sek­syen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit ke­salahan.

Sementara itu enam tertuduh lain iaitu G. Gunasekaran, 44; R. Dinishwaran, 24; A. Thinesh Kumar, 23; M. Vishwanath, 23; S. Nimalan, 23; dan S. Ravi Chandaran, 45, didakwa membunuh mangsa di tempat dan waktu yang sama.

Kunaseegaran diwakili peguam N. Sivanathan, peguam M. Manoharan pula mewakili Dinishwaran manakala lima tertuduh lain pula diwakili peguam V. Rajehgopal.

Abdul Razak turut memberitahu mahkamah seorang lagi tertuduh kes tersebut, A. Murugan, 44, telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 17 Februari lalu.

Menurutnya,  Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin memjatuhkan hukuman demikian selepas Murugan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

“Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh (Murugan) yang diwakili peguam bela, R. Thirukumaran didakwa menghilangkan keterangan atau kesalahan yang telah dilakukan dengan melupuskan nombor casis kenderaan mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, Azman menetapkan perbicaraan kes bunuh yang pernah menggemparkan negara itu berlangsung selama 16 hari bermula 4 April hingga 8 April, 11 April hingga 15 April dan 21 April serta 22 April depan.

Kosmo! 17 September 2015 lalu melaporkan, Morais yang dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya dari rumahnya di Menara Duta di sini dilaporkan hilang pada 4 September lalu sebelum mayatnya ditemui disimen dalam sebuah tong dram yang dibuang ke dalam parit di Jalan Subang 3, Subang Jaya pada 16 September lalu.

No comments:

Post a Comment