Translate

Thursday, September 14, 2023

UMT cipta unjam moden bantu nelayan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menghasilkan unjam moden yang lebih tahan lasak bagi membantu komuniti nelayan di Tok Jembal di sini, meningkatkan hasil pendapatan mereka sehingga RM2,000 sebulan. 

 Unjam itu berfungsi sebagai perumah buat ikan-ikan pelagik yang bernilai komersial selain mampu merosakkan pukat tunda yang menjadi ancaman kelestarian ekosistem pesisir pantai selama ini. 

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, projek unjam moden itu merupakan program di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu dan Teknologi UMT bernilai RM20,000. 

 Menurutnya, produk hasil inovasi pasukan penyelidik yang diketuai Dr. Fazrul Hisam Abd. Aziz tersebut lebih tahan lama berbanding unjam konvensional buatan nelayan tempatan.

 “Unjam moden ini menggunakan pemberat yang diperbuat daripada gegelung kontrik berbanding guni pasir dan tong plastik yang digunakan unjam tradisional. 

 “Gegelung kontrik bukan sahaja lebih tahan lama, malah boleh berfungsi sebagai tukun tiruan yang menjadi perumah buat ikan-ikan pelagik,” katanya di Pantai Panjang, Tok Jembal, di sini semalam.

 Terdahulu, beliau melepaskan 20 bot membawa 100 unjam moden yang akan ditenggelamkan di sekitar perairan Tok Jembal. 

Mazlan berkata, daun kelapa dan teja yang ditenggelami bersama unjam moden akan menjadi penarik kehadiran ikan ke unjam. 

Menurutnya, kajian UMT mendapati, unjam moden tersebut mampu menarik kehadiran ikan pelagik seperti selar, kembung, kerisi dan selayang dalam tempoh seawal seminggu. 

 “Unjam modem tersebut juga mampu merosakkan pukat tunda yang sering menceroboh dan menjadi ancaman kepada kelestarian ekosistem pesisir pantai selama ini. 

“Projek perintis di Pantai Tok Jembal ini disasar memberi manfaat kepada 2,500 nelayan setempat,” ujarnya. 

 Tambahnya, unjam moden tersebut diharap mampu meningkatkan lagi populasi ikan di pesisir pantai terbabit, sekali gus merangsang tangkapan nelayan tradisional dan meningkatkan pendapatan mereka sehingga RM2,000 sebulan.

No comments:

Post a Comment