Translate

Saturday, September 23, 2023

Tiga tahun perintah, kenapa PN tidak naik subsidi padi? – Anwar

KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri mempersoal tindakan Perikatan Nasional (PN) yang cuba menumpang kredit inisiatif menaikkan kadar subsidi harga padi diambil kerajaan Perpaduan pada Selasa lalu. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya benar memperjuangkan isu membela nasib pesawah padi, inisiatif itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan sewaktu tiga tahun PN berkuasa sebagai kerajaan dahulu.

 Ujarnya, sebaliknya Kerajaan Perpaduan yang menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik walaupun baru lapan bulan mentadbir negara.

 “Kata memang itu (kenaikan subsidi harga padi) cadangan kita (PN). Tiga tahun ( jadi kerajaan Persekutuan), kenapa tidak buat, pasal apa tidak naik (subsidi) harga padi. 

“Rancanglah tiga tahun lagi, kami (Kerajaan Perpaduan) hendak perintah (negara),” katanya pada Jelajah Perpaduan Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini kelmarin. 

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, kenaikan kadar subsidi harga padi yang diumumkan kerajaan merupakan perjuangan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Muslimin Yahaya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

 Selasa lalu, Anwar mengumumkan kenaikan SSHP dari RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik bagi membolehkan pesawah menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik. 

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan pendekatan kerajaan bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan tersebut. 

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mempersoalkan kecaknaan Bersatu dan Pas terhadap kebajikan rakyat sewaktu menganggotai Kerajaan Pusat dari tahun 2020 hingga 2022. 

Katanya, antara masalah rakyat tinggalan PN yang diselesaikan segera Kerajaan Perpaduan ialah pelarasan tangga gaji penjawat awam, kemudahan tandas sekolah dan kebajikan anggota polis di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah. 

“Kerajaan saya mewarisi beban hutang tinggi, tetapi dalam tempoh lapan bulan, kami sudah melakukan yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment