Translate

Friday, September 22, 2023

Proses pengundian awal lancar

Oleh MOHD. YUNUS YAKKOB, JAMLIAH ABDULLAH, MOHD. AZLI ADLAN, SAFINA RAMLI dan ROHANA MOHD. NAWI 

PETALING JAYA – Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri melibatkan pegawai dan anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka semalam berjalan lancar. 

Di Shah Alam, Selangor, seramai 26,557 pegundi menunaikan tangungjawab dalam pengundian awal di seluruh negeri itu sejak awal pagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitcha berkata, ia melibatkan 18,557 pegawai dan anggota serta pasangan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi Kontinjen Selangor. 

Menurutnya, selebihnya adalah 8,000 pegawai dan anggota tentera serta pasangan. 

“Jumlah pusat mengundi awal sebanyak 68 pusat dengan 93 saluran mengundi.

 “Arahan telah diberikan kepada pegawai dan anggota polis sebagai rakyat negara ini adalah wajib melaksanakan mengundi,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. 

Di Terengganu, sebanyak 6,957 anggota keselamatan dan ahli keluarga tidak lupa menunaikan tanggungjawab mengundi awal untuk PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu semalam.

 Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, ia merangkumi 4,395 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 1,884 orang dan ahli keluarga PDRM serta ATM (678). 

 “Sebanyak 35 saluran mengundi awal dibuka di seluruh Terengganu termasuk lima di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu,” katanya. 

Di Alor Setar, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sebanyak 6,839 pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Kedah serta pasangan melaksanakan tanggungjawab membuang undi awal di seluruh negeri.

 Jumlah itu membabitkan 710 pegawai dan 5,976 anggota di empat saluran mengundi dan seramai 1,273 anggota serta pegawai polis pula terlibat dalam pasca PRN bagi mengawal keselamatan seluruh negeri. 

Di Pulau Pinang, seramai 6,451 pegawai kanan dan pegawai rendah polis melaksanakan undi awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD). 

Seramai 217 pegawai polis ditugaskan bagi melancarkan proses pengundian awal itu. 

Di Kota Bharu, Kelantan, seramai 11,205 PDRM dan ATM yang berdaftar sebagai pengundi pada PRN menunaikan tanggungjawab mengundi awal semalam. 

Terdapat 33 tempat mengundi awal di seluruh negeri ini termasuk di kem Pasukan Gerakan Am dan kem Desa Pahlawan.

No comments:

Post a Comment