KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar peniaga Pasar Besar Kedai Payang di sini membantah cadangan untuk memisahkan kumpulan itu kepada dua bahagian menjelang hujung tahun ini.
Seorang peniaga, Norlia Ambak, 56, berkata, berdasar taklimat awal Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pengusaha kraftangan, emas dan tekstil akan berpindah ke kompleks perniagaan baharu yang terletak bersebelahan.
“Peniaga keropok dan barangan basah seperti kami pula kekal di Pasar Besar Kedai Payang 2 yang sebenarnya cuma diwujudkan sebagai bangunan sementara.
“Ini amat mengejutkan dan bertentangan dengan janji MBKT sewaktu kami bersetuju berpindah bagi memberi laluan kepada pembangunan semula Pasar Besar Kedai Payang lima tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! pada 17 Julai lalu melaporkan kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang yang dibina sejak 2017 akan mula beroperasi akhir tahun ini.
Kompleks moden itu dilengkapi kemudahan penyaman udara, eskalator dan mesra orang kelainan upaya.
Norlia berkata, kewujudan dua premis perniagaan itu bertentangan dengan konsep Pasar Besar Kedai Payang sebagai pusat sehenti produk makanan dan tradisional.
Seorang lagi peniaga, Nasaruddin Jusoh, 36, pula bimbang kewujudan dua premis Pasar Besar Kedai Payang akan menyebabkan perniagaan mereka merudum.
“Dahulu peniaga Pasar Besar Kedai Payang dipisahkan, sebahagian mereka diarahkan supaya berniaga di Bazar Warisan, tetapi tidak dapat sambutan.
“Pengunjung lebih gemar dengan konsep asal menempatkan semua peniaga dalam satu premis, akhirnya Bazar Warisan ditutup dan terbiar sehingga sekarang," katanya.
No comments:
Post a Comment