Oleh MOHD AZLI ADLAN
SEMINGGU lagi kita bakal bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan ke-66. Begitupun kehangatannya dirasakan masih suam-suam kuku dengan tidak banyak lagi Jalur Gemilang berkibaran terutama secara sukarela oleh rakyat jelata.
Di Terengganu misalnya, bendera dan replika parti politik lebih mudah dilihat berbanding Jalur Gemilang.
Senario itu seolah-olah kita masih belum kebah daripada ‘demam’ Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang sudah pun berakhir 12 Ogos lalu.
Sentimen perbezaan dokongan politik perlu dikendurkan segera, sebaliknya tanggal 31 Ogos ini harus dimanfaatkan bagi mentautkan kembali rakyat negara ini.
Demografik masyarakat majmuk Malaysia yang dibina mengikut acuan akomodasi memerlukan keharmonian dan kesatuan sentiasa dipupuk.
Prinsip federalisme yang menjadi pembentukan Malaysia juga harus diperteguhkan kerana kesatuan hati seluruh rakyat amat diperlukan untuk terus membina negara.
Sehubungan itu, sebarang polemik yang merenggangkan rakyat terutama melibatkan sambutan Hari Kebangsaan mesti diketepikan.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeneri Amir berkata, ahli politik tidak seharusnya menghantar signal salah kepada rakyat sewaktu sambutan Hari Kebangsaan hampir tiba.
Beliau berkata, mereka seharusnya menjadi medium untuk menyatukan rakyat pada hari keramat berkenaan.
“Ia selaras dengan matlamat sambutan Hari Kebangsaan yang bertujuan menyeramakkan perpaduan dan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat.
“Jangan sesekali mencetuskan sebarang polemik yang boleh menyemarak sentimen memberi implikasi negatif terhadap perpaduan yang dibina selama ini,” katanya baru-baru ini.
Jeneri berkata, sentimen tersebut dibimbangi memberi mesej salah terhadap masyarakat khususnya generasi.
Jelasnya, impaknya amat buruk dan mampu menjadikan keamanan dan kemakmuran yang dibina sejak hampir tujuh dekad lalu musnah.
Saranan itu dipersetujui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah yang akur Hari Kebangsaan tahun ini merupakan medium terbaik menyatukan semula rakyat tanpa mengira fahaman politik.
Beliau berkata, sudah sampai masanya, sebarang perbezaan pendapat dan fahaman diketepikan.
“Sebaliknya fokus perlu diberikan untuk bersatu hati membina dan memakmurkan semula negara.
“Kita perlu kembali merapatkan saf menyumbang membantu negara mengatasi kekalutan global yang sedang berlaku kini,” katanya.
Raja Kamarul Bahrin berkata, kestabilan negara tidak boleh diganggu gugat oleh sentimen sempit yang cuba membakar kebencian rakyat.
Sebaliknya, beliau mengharapkan semangat persaudaraan tulen harus terus dipupuk sebagai memelihara nikmat yang telah Allah kurniakan selama ini.
No comments:
Post a Comment