Translate

Tuesday, September 19, 2023

Berpada hias bendera parti pada lori

KUALA TERENGGANU – Para pemandu kenderaan diingatkan agar berpada-pada serta tidak berlebihan dalam menghias bendera atau simbol parti politik sempena musim Pilihan Raya Negeri (PRN) pada ketika ini. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun memahami keghairahan memberi sokongan terhadap parti politik yang disukai itu wajar diraikan, keselamatan jalan raya tetap perlu diberikan keutamaan. 

“Sebarang pemasangan bendera parti politik terutama pada kenderaan berat wajar tidak sesekali mengabaikan keselamatan jalan raya kepada semua pihak. 

“Janganlah sampai mengganggu penglihatan pemandu sewaktu berada di jalan raya,” katanya pada Program Ramah Mesra bersama Menteri Pengangkutan di Kampung Cina di sini kelmarin. 

Anthony Loke mengulas keghairahan segelintir pemilik kenderaan berat, khususnya lori yang dilihat keterlaluan memasang bendera parti politik sempena PRN di enam negeri pada ketika ini. 

Beliau berkata, pemasangan bendera parti politik terbabit juga seharusnya tidak mengganggu pemanduan pengguna jalan raya lain. 

“Begitupun, saya rasa tidak perlulah sampai ada larangan khusus (pemasangan bendera parti politik pada kenderaan). 

“Paling penting kita perlu bertimbang rasa antara satu sama lain, sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment