Translate

Friday, September 15, 2023

Pulau Rhu jadi taman negeri

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

DUNGUN – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat untuk mewartakan Pulau Rhu yang terletak di Kuala Besut sebagai taman negeri terbaharu. 

 Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, setakat ini tiga lokasi telah diwartakan sebagai taman negeri iaitu Hutan Simpan Lawit-Cenana dan Tembat di Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol di sini. 

 Beliau berkata, Pulau Bidong, Kuala Nerus pula dalam proses pewartaan sebagai taman negeri Terengganu keempat yang dijangka selesai tidak lama lagi. 

 “Pulau Rhu berpotensi untuk diangkat sebagai taman negeri Terengganu terbaharu bagi memastikan kelestarian khazanah semula jadinya terpelihara. 

 “Selain itu, ia meningkatkan imej pulau terbabit bagi menarik kehadiran pengunjung tetapi dalam keadaan terkawal,” katanya selepas merasmikan program Pembersihan Pantai dan Dasar Laut di Pulau Tenggol di sini semalam. 

Seramai kira-kira 100 sukarelawan terlibat dalam program gotong-royong terbabit bagi memastikan keindahan Pulau Tenggol yang baharu diwartakan taman negeri Terengganu pada bulan Februari lalu. Dalam perkembangan berkaitan, 

Tengku Farok Hussin berkata, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu sedang melakukan kajian untuk memperluaskan pewartaan status Taman Negeri Pulau Tenggol sehingga ke perairannya.

 Jelas beliau, setakat ini, pewartaan tersebut hanya terbatas kepada kawasan daratan Pulau Tenggol yang seluas kira-kira 50 hektar. 

 “Daya tarikan Pulau Tenggol ialah dasar perairannya kaya dengan koleksi terumbu karang mempersona yang sudah mula menarik perhatian ramai peminat aktiviti selaman skuba.

 “Kita rasa wajar perairan Pulau Tenggol turut diwartakan sebagai taman negeri bagi meningkatkan kecaknaan awam,” katanya. 

 Tengku Farok Hussin berkata, Pulau Tenggol terkenal antara pusat selaman skuba.

No comments:

Post a Comment