Translate

Monday, September 11, 2023

Tiada isu ‘pukat’ RXZ, hanya 1.35 peratus tidak ikut peraturan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan dakwaan sengaja melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) bagi memerangkap peserta sebuah himpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuala Nerus yang berlangsung semalam.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin menegaskan, SJR itu merupakan sebahagian operasi khas penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal selama sebulan sejak 1 September lalu yang dijalankan seluruh negara.

“Tiada istilah ‘pukat’ (perangkap), tiada masalah sertai program (himpunan Yamaha RXZ) sekiranya mengikut peraturan jalan raya ditetapkan.

“Saya difahamkan lebih 40,000 (peserta) menyertai program itu, hanya kira-kira 1.35 peratus (penunggang motosikal Yamaha RXZ) dikenakan tindakan JPJ,” katanya ketika memantau sebahagian 126 motosikal Yamaha RXZ yang disita terbabit di Depoh Sitaan JPJ Terengganu di sini hari ini.

Zulkarnain berkata, sebelum ini, JPJ negeri telah mengingatkan penganjur tentang pematuhan peraturan jalan raya dalam kalangan peserta, namun terdapat segelintir yang masih berdegil seolah-olah mencabar pihak berkuasa.

Jelas beliau, antara 535 kesalahan trafik yang dikesan ialah tiada atau mempamerkan nombor pendaftaran yang mengikut spesifikasi, mengubahsuai ekzos, badan serta komponen motosikal.

“Selain itu, kesalahan dilakukan ialah tiada brek dan cermin sisi serta menggunakan tayar tidak mengikut spesifikasi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ramai tidak memiliki cukai jalan, insurans dan lesen memandu termasuk dua penunggang bawah umur,” katanya.

Zukarnain berkata, sebahagian 126 motosikal Yahama RXZ yang disita juga disyaki telah mengubah suai nombor casis. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment