Translate

Monday, September 25, 2023

Suspek parah, motif kes bunuh belum diketahui

KUALA NERUS – Siasatan berhubung kes pembunuhan membabitkan seorang pemandu kereta sewa pada Khamis lalu masih belum dapat dijalankan berikutan suspek masih dalam keadaan tidak stabil. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu cedera parah dipercayai akibat bergelut dengan mangsa, Mohd. Latif Idrus, 51. 

“Suspek mengalami pendarahan dalaman akibat kesan tikaman yang hampir mengenai paru-parunya. 

Dia masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. Keadaannya masih tidak stabil,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Sehubungan itu, Mazli memberitahu, motif kejadian yang meragut nyawa Mohd. Latif masih belum diketahui. 

Beliau menjelaskan, pihaknya telah mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek sehingga Khamis ini. 

“Siasatan akan dilakukan sebaik suspek stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh,” katanya. 

Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang pemandu kereta sewa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan kecederaan pada leher di tempat duduk belakang kenderaan miliknya. 

Dalam kejadian pada pukul 10.56 malam itu, kereta sewa itu dipandu secara melawan arus oleh suspek sehingga melanggar beberapa kenderaan pengguna lain.

 Kes pembunuhan itu terbongkar apabila kereta sewa terbabit dikejar orang ramai sebelum terbabas berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir.

No comments:

Post a Comment