Translate

Tuesday, September 12, 2023

Bayi lelaki dibuang berhampiran pusat tahfiz

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang lelaki terkejut menemukan bayi dipercayai baru dilahirkan di wakaf rehat berhampiran sebuah pusat tahfiz di Kampung Raja di sini hari ini.

Dia menjumpai bayi lelaki itu sewaktu sedang mengecat di dalam premis di pusat tahfiz terbabit pada pukul 8 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki terbabit terdengar bunyi tangisan bayi sewaktu melakukan kerja-kerja mengecat.

“Dia terkejut menjumpai bayi lelaki seberat kira-kira 2.6 kilogram (kg) diletakkan di dalam bekas plastik berwarna merah di kawasan wakaf rehat di luar premis pusat tahfiz.

“Penemuan itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak berkuasa sebelum sepasukan polis ke lokasi berkenaan pada pukul 9.20 pagi,” katanya di sini semalam.

Abdul Rozak berkata, bayi lelaki yang masih bernyawa berkenaan segera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, pemeriksaan awal pegawai perubatan mendapati bayi tersebut mengalami jangkitan kuman pada tali pusatnya.

“Siasatan awal mendapati wakaf rehat berhampiran pusat tahfiz itu terletak berhampiran jalan utama.

“Pusat tahfiz berkenaan yang semua pelajarnya lelaki pula tidak dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment