Translate

Tuesday, September 12, 2023

Jabatan agama Islam bantu basmi sindiket penipuan

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kehakiman Syariah menyarankan jabatan agama Islam negeri-negeri memainkan peranan lebih proaktif membantu memberi kesedaran terhadap masyarakat terhadap sindiket penipuan online.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Mohd. Amran Mat Zain
berkata, inisiatif itu penting bagi membantu mengurangkan kes penipuan melibatkan kerugian harta umat Islam yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

“Pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri disyorkan untuk turun padang melipatgandakan usaha memberikan penerangan dan
kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan aktiviti scammer (penipuan).

“Platform khutbah Jumaat serta majlis ilmu di masjid dan surau perlu dimanfaatkan agar masyarakat benar-benar memahami kaedah menangani isu-isu penipuan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Scammer Islamic: Wadah atau Padah? anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mohd. Amran berkata, jabatan agama Islam negeri-negeri juga perlu menjalin kerjasama lebih erat dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) bagi menangani isu terbabit.

Beliau berkata, sindiket penipuan kini semakin berani mempergunakan agama Islam bagi memperdaya mangsa menerusi kempen derma dan wakaf, pakej umrah dan jualan produk meragukan.

“Ia termasuk penipuan kutipan sumbangan orang ramai kononnya bagi pembinaan masjid arau pusat tahfiz yang tiada semakan atau audit dokumen berkaitan daripada pihak berkuasa.

“Taktik sama juga digunakan pihak tertentu menggunakan ayat al-Quran dan hadis serta ciri agama lain tanpa disiplin betul hanya untuk melariskan produk jualan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment