Translate

Friday, September 29, 2023

Gaji naik ketepi persepsi sinis netizen


 Oleh MOHD. AZLI ADLAN

 KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan menepati janji menaikkan gaji sektor awam menjelang pembentangan Bajet 2024 pada Oktober depan.

 Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat percaya kata-kata sinis netizen yang mencadangkan inisiatif tersebut dibatalkan ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu tidak akan mempengaruhi keputusan kerajaan.

 “Ini pandangan yang serong dan tidak berperlembagaan kerana anggota Perkhidmatan Awam telah melakukan tugas dan kerajaan ini majikan kami. 

 “Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan gaji, kami amat yakin kerajaan mampu untuk melaksanakannya. Keputusan PRN dilihat positif atau negatif itu tajuk lain,” katanya pada program Perhimpunan bersama Penjawat Awam Terengganu di sini semalam. 

 Adnan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini jelas kekal komited dalam merealisasikan inisiatif meningkatkan gaji penjawat awam terbabit.

 Jelas beliau, komitmen berterusan menunjukkan Anwar amat prihatin dan memahami kesukaran penjawat awam khususnya yang berada dalam kumpulan gaji terendah. 

 “Sistem saraan baharu sedang giat dijalankan (Jabatan Perkhidmatan Awam) dengan sesi libat urus melibatkan enam kluster telah selesai. 

 “Harapan kami agar permintaan seperi gaji minimum RM1,800, penstrukturan tangga gaji dan kenaikan pangkat dapat dipenuhi dalam sistem saraan baharu itu,” katanya. 

 Dalam perkembangan sama, Adnan juga memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan imbuhan tetap perkhidmatan awam sebelum sistem saraan baharu terbabit dikuatkuasakan. 

Jelas beliau, kenaikan imbuhan sekurang-kurangnya RM100 sebulan itu bertujuan meningkatkan pendapatan bersih penjawat awam. 

 “Ia untuk meningkatkan kuasa beli penjawat awam untuk mendepani kos sara hidup yang semakin tinggi. 

 “Kita faham sistem saraan baharu mungkin memerlukan kajian dan memakan masa untuk dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment