Translate

Thursday, September 28, 2023

Ahmad Samsuri dilantik semula

KUALA TERENGGANU– Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di sini semalam. 

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang dari Pas itu selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pukul 3.18 petang.

 Selain Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas, 10 ADUN Perikatan Nasional (PN) juga melafaz sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Terengganu bagi penggal ke-15.

 Mereka terdiri daripada sembilan wakil rakyat Pas dan seorang ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

 Empat muka baharu yang dilantik sebagai Exco Terengganu ialah Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris yang juga ADUN Kijal serta Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Hishamuddin Abd. Karim (Tepoh) dan Maliaman Kassim (Ajil) dari Pas. 

 Enam Exco Terengganu yang dikekalkan, Datuk Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr. Azman Ibrahim (Jabi) dan Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam). Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Man (Cukai) dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Kota Putera) turut mengangkat sumpah sebagai Exco Terengganu. 

 Empat Exco Terengganu yang digugurkan adalah Datuk Mohd. Nor Hamzah yang merupakan ADUN Bukit Payung dan Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang) sementara Datuk Dr. Alias Razak dan Tengku Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pula tidak bertanding di kerusi DUN masing-masing untuk memberi laluan kepada muka baharu. 

 Ahmad Samsuri yang juga bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) mula menjawat Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018.

No comments:

Post a Comment