KUALA TERENGGANU – Anak syarikat Kumpulan TDM Berhad, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) menyasarkan penggunaan 100 peratus pekerja am dan 70 peratus penuai dalam kalangan warga tempatan menjelang tahun 2027.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata, pendekatan itu selaras dengan dasar kerajaan yang mengutamakan pekerja tempatan dalam industri perladangan dan komoditi.
Tambahnya, strategi telah dirangka bagi mencapai sasaran itu dalam tempoh empat tahun seperti meningkatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian tepat di ladang-ladang kepala sawit milik TDMP.
“Penggunaan mekanisasi diharap dapat menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai industri perladangan.
“Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kecekapan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manusia di ladang kelapa sawit,” katanya di sini semalam.
Hamdan berkata, pihaknya juga akan menyediakan program latihan berterusan bagi memperkasa kemahiran pekerja tempatan dalam penggunaan peralatan terkini dan moden.
“Syarikat menawarkan tangga gaji dan insentif berbaloi bagi menarik minat lebih ramai warga tempatan terutamanya untuk menjadi penuai buah kelapa sawit selain kemudahan perumahan percuma dan perkhidmatan perubatan percuma buat pekerja ladang dan ahli keluarga mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment