Translate

Sunday, October 6, 2019

UniSZA universiti perintis kempen MyDebit

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi institusi pengajian tinggi awam tempatan perintis kepada kempen MyDebit iaitu pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kempen MyDebit anjuran Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) tersebut bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad debit sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai dalam kalangan warga universiti termasuk pelajar dan pensyarah.

"Penggunaan kad debit bukan sahaja memudahkan transaksi tanpa perlu membawa wang tunai malah mengurangkan kos dan risiko pengurusan tunai sewaktu melakukan pembayaran di kaunter.

"Kaedah pembayaran elektronik merupakan komponen kritikal dalam era ekonomi digital masa kini yang bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian malah mampu meningkatkan produktiviti," katanya ketika melancarkan Kempen MyDebit sempena Karnival Kewangan Islam UniSZA di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin dan Ketua Perbankan Pengguna Bank Islam Malaysia Berhad, Zamree Mohamad.

Hassan Basri berkata, serentak dengan pelancaran kempen MyDebit berkenaan, warga UniSZA berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 sekiranya melakukan transaksi menggunakan kad debit sepanjang tempoh 1 Ogos lalu hingga 31 Januari tahun depan.


Sehubungan itu, beliau menyeru warga UniSZA agar bertukar kepada transaksi tanpa tunai bukan sahaja untuk memenangi hadiah tetapi sebagai menyertai kehendak kelompok masyarakat digital selaras dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment