Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, penambahbaikan itu meliputi pelbagai aspek termasuk perlindungan diri, peralatan, latihan dan kesiapsiagaan.
Beliau berkata, SOP yang ditambah baik itu telah diedarkan kepada setiap negeri dan sesi jelajah turut dijalankan bagi memberi penerangan berkaitan falsafah serta tafsiran arahan oleh barisan pegawai kanan operasi kepada anggota serta kakitangan JBPM.
“Selepas berlakunya kejadian yang menimpa arwah Muhammad Adib Mohd. Kassim, kita telah menubuhkan jawatan kuasa khas dalam JBPM yang berkecuali untuk menyiasat dan melihat aspek-aspek penambahbaikan termasuk juga kolaborasi dengan agensi-agensi lain,” katanya.
Beliau berkata demikan kepada pemberita di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sini semalam.
Pada 27 September lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib dalam kejadian rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor pada tahun lalu akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.
Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas menilai keterangan 30 saksi serta 137 bahan bukti yang dikemukakan sepanjang prosiding inkues berlangsung sejak Februari lalu.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan memberitahu, pihaknya mempertimbang untuk memberi anugerah kepada dua saksi inkues iaitu R. Narresh dan Mohd. Hafizan Nordin bagi menghargai jasa kedua-dua individu tersebut yang bergadai nyawa membantu mangsa semasa kejadian rusuhan tersebut.
“Insya-Allah, kita akan mempertimbangkannya dan kita menghargai semua pihak yang membantu bomba dan ia (penganugerahan) dikendalikan oleh satu jawatan kuasa khas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap permohonan elaun perkhidmatan kebombaan dapat dipertimbangkan untuk kelulusan dalam Bajet 2020 yang dibentangkan Jumaat depan.
Elaun berjumlah RM200 sebulan yang telah dipohon sejak tiga tahun lalu itu dapat memberi manfaat kepada seramai 14,500 anggota dan pegawai JBPM di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment