MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Kraftangan Malaysia bakal memperkenal sistem pembelian produk kraf tempatan seperti batik, songket, ukiran kayu dan logam yang lebih mudah dan menjimatkan kos dengan menggunakan teknologi terkini mulai tahun hadapan.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail berkata, pelanggan termasuk pelancong yang berminat dengan produk kraf tempatan dipamerkan hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) di mesin pengimbas di premis jualan terpilih di dalam dan luar negara bagi melakukan pembelian.
"Imbasan di kod QR itu membolehkan pelanggan melakukan transaksi pembelian secara talian dan produk akan dihantar terus ke negara asal atau lokasi dikehendaki tanpa perlu membawa pulang produk kraf berkenaan secara fizikal.
"Ia secara tidak langsung memudahkan pelanggan terutama pelancong tanpa perlu bimbang risiko kerosakan selain menjimatkan ruang dan kos di premis jualan Kraftangan Malaysia di dalam negeri mahu pun luar negara," katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Usahawan Kraf di Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu, Chendering di sini hari ini.
Ibrahim berkata, konsep pembelian menerusi imbasan kod QR itu bakal diperkenalkan di beberapa premis jualan perintis di pintu-pintu masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pulau Langkawi sempena Tahun Melawat Malaysia pada awal tahun hadapan.
Menurut beliau, Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan juga akan membuka pusat jualan menggunakan konsep teknologi sama di Pusat Informasi Pelancongan (ITC) di London, Britain; Paris, Perancis; dan China. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment