KUALA TERENGGANU – Sekumpulan 16 nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara nekad terjun ke dalam laut selepas menyedari mereka dikejar sebuah kapal Maritim Malaysia (APMM) pada kedudukan 108 batu nautika dari muara Sungai Terengganu dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 9.57 pagi itu, kesemua nelayan asing berusia lingkungan 15 hingga 47 tahun itu turut berenang ke arah pelantar minyak berhampiran bagi mencari perlindungan, namun berjaya digagalkan penguat kuasa APMM.
Pengarah Maritim Zon Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot nelayan yang dikepung kapal APMM itu bertindak melarikan diri dengan memecut laju ke arah pelantar minyak yang terletak kira-kira lima batu nautika dari lokasi mereka menangkap ikan.
“Pekerja pesisir pantai yang berada di pelantar minyak itu segera menutup pintu akses utama sebelum membantu anggota penguat kuasa APMM menahan 16 nelayan asing terbabit.
“Ini kes pertama nelayan Vietnam yang mahu ditahan APMM bertindak nekad terjun dari bot semata-mata mahu mengelak ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini semalam.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua nelayan asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
Tambah beliau, bot nelayan Vietnam itu juga tidak memiliki kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan.
“Bot, peralatan menangkap ikan, hasil laut dan minyak diesel yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta telah disita dan ditunda ke Jeti Pejabat APMM Terengganu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
No comments:
Post a Comment