Translate

Thursday, October 10, 2019

Tak sempat sambut hari lahir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Allahyarham Surawati Mohd., yang terkorban bersama suaminya dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan - Se­remban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang kelmarin merancang untuk menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-33 bersama anak sulungnya di Came­ron Highlands, Pahang pada hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suami Surawati, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suri rumah berkenaan pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Rompin kira-kira tiga jam kemudian.

Adik Surawati, Syaidatul Fatihah, 30, berkata, sewaktu kejadian, pasa­ngan suami isteri itu bersama tiga anak mereka ia­itu Aryan Rizqy, 6; Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, dalam perjalanan ke rumah keluarga Muhammad Noor Idham di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Mereka kemu­diannya me­rancang mendaki sebuah gunung di Ca­meron Highlands sebelum meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Aryan Rizqy yang genap enam tahun hari ini di pusat peranginan tersebut.

“Saya difahamkan kakak saya (Surawati) turut berhasrat meraikan ulang tahun kelahiran ke-33 lebih awal yang sepatutnya pada 30 Oktober depan bersama-sama anak sulungnya pada hari berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Syaidatul Fatihah berkata, Surawati dan Muhammad Noor Idham yang merupakan kakita­ngan Hotel Permai di sini menggemari aktiviti pendakian dan sering membawa ketiga-tiga anaknya menyertai kegiatan riadah itu.

Sementara itu, dia memberitahu sempat menemani Surawati untuk membeli kain batik dan pakaian sebagai cenderamata di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Ahad lalu untuk dihadiahkan kepada keluarga mertuanya.

Ujarnya, sebelum itu, Surawati sempat me­minta pendapat ibu mereka tentang hasrat untuk menghadiahkan kain batik kepada ibu mertuanya.

“Ibu saya mencadang­kan agar allahyarham kakak membeli kain batik lepas kerana ia banyak kegunaan termasuk sekiranya berlaku kematian.

“Sebenarnya saya pelik kerana sebelum ini kakak dan suami lebih gemar membeli produk makanan tradisional Terengganu sebagai buah tangan setiap kali pulang ke kampung mertua,” katanya.

Syaidatul Fatihah memberitahu, jenazah Sura­wa­ti dikebumikan di Ta­nah Perkuburan Islam Seberang Marang di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda, Marang malam kelmarin.

Tiga anak mereka yang turut terlibat dalam kemalangan itu terselamat dan hanya mengalami kece­deraan ringan.

No comments:

Post a Comment