Translate

Thursday, October 17, 2019

‘Mummy, daddy datang suap kek’

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Tiga beradik yang menjadi yatim piatu tidak dapat melelapkan mata ekoran terlalu rindu kepada ibu bapa mereka, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, dan Surawati Mohd., 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada Khamis lalu.

Nenek mereka, Zainab Mamat, 61, yang juga ibu Surawati berkata, Aryan Rizqy, 6, Areesh Razeen, 4, dan Arfaan Rakeen, 2, sering merengek teringatkan ibu bapa mereka dan masih trauma dengan tragedi itu.

“Arfaan yang masih menyusu badan asyik menyebut nama mummy dan daddy. Areesh pula pagi semalam (kelmarin) tiba-tiba memberitahu saya mummy dan daddy datang menyuapkan kek kepadanya dan dua beradik lain. Saya hiba hingga mengalirkan air mata,” katanya.

Terdahulu, Zainab ditemui selepas menerima kunjungan kakitangan Hotel Permai diketuai Pengurus Besarnya, Noralizan Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda di sini semalam.

Selain menghulurkan sumba­ngan kepada anak-anak Muhammad Noor Idham yang merupakan kakitangan Hotel Permai, kunjungan itu turut meraikan u­lang tahun kelahiran Aryan  ke-6 yang sepatutnya disambut kelmarin.
Zainab berkata, dia akan memelihara ketiga-tiga cucunya itu yang sebelum ini menetap di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

“Saya akan dibantu sebahagian anak-anak lain yang me­netap berhampiran. Kami akan menguruskan proses penukaran sekolah Aryan yang memasuki tahun satu pada tahun depan di Sekolah Kebangsaan Bukit Ga­sing di sini,” jelasnya.

Sementara itu, Noralizan berkata, ketiga-tiga beradik itu akan dijadikan anak angkat Hotel Permai demi menjaga kebajikan mereka.
“Mereka diberikan bantuan kewangan bulanan sementara fa­edah pencen penakat diluluskan Perkeso.

“Lebih menyedihkan, Muhammad Noor bersikap luar biasa memohon maaf kepada sebahagian besar rakan sekerjanya sebelum menghabiskan syif kerja terakhir pada hari Rabu seolah-olah mengetahui kematiannya,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan hajat Surawati merai sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-33 bersama anak sulungnya di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila maut bersama suami dalam kemalangan pada pukul 5 pagi Khamis lalu.

Pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka dalam perjalanan ke rumah keluarga Muhammad Noor di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kereta Myvi dipandu Muhammad Noor dikatakan terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan kemudian berlanggar dengan sebuah lori Isuzu.

No comments:

Post a Comment