Translate

Thursday, October 3, 2019

Kampus UniSZA bakal dilengkapi kemudahan jalur lebar berkelajuan 5Gbps

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai 13,000 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal menikmati akses Internet yang lebih pantas menerusi penyediaan sambungan Internet berkelajuan tinggi oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi, TM ONE.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, ketiga-tiga kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut di Gong Badak, Kuala Nerus; Kuala Terengganu dan Tembila, Besut bakal menikmati kemudahan jalur lebar berkelajuan 5Gbps.

Beliau berkata, kapasiti jalur lebar berkelajuan tinggi berkenaan akan menghubungkan ketiga-tiga kampus UniSZA bagi membolehkan komuniti termasuk pelajar di universiti berkenaan berkomunikasi antara satu sama lain dengan lebih pantas dan efisyen.

"Ia juga membolehkan aplikasi berkaitan pendidikan yang kreatif dan inovatif diakses dengan lebih cepat dan teratur seiring dengan kehendak Revolusi Industri 4.0.

"Kemudahan sambungan Internet berkelajuan tinggi tersebut juga memberi ruang untuk UniSZA memperkasa dan memperluas lagi program pembelajaran sepanjang hayat dan maya kepada komuniti," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani perjanjian dengan TM ONE yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Taufek Omar pada majlis yang disaksikan Pengerusi TM, Rosli Man.

Hassan memberitahu perkhidmatan rangkaian premium disediakan TM ONE berkenaan juga bakal memudahkan lagi proses penyalinan manuskrip lama peradaban Melayu dan Islam secara digital yang sedang dirintis UniSZA.


"Proses penyalinan manuskrip lama secara digital itu memerlukan pengstoran yang besar dan kami telah dimaklumkan TM bersedia untuk menyediakan kemudahan berkenaan," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment