Translate

Tuesday, October 1, 2019

Kementerian Pendidikan teliti cadangan NUTP lantik warden asrama sepenuh masa

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kementerian Pendidikan menyambut baik cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) agar pelantikan warden asrama dilakukan dalam kalangan bukan guru sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, pihaknya akan melakukan kajian melibatkan semua pemegang taruh terlibat terlebih dahulu terhadap impak pelaksanaan cadangan berkenaan.

"Keputusan melantik warden asrama secara lantikan luar dan berasingan daripada golongan guru akan memberi kesan kepada banyak sekolah yang mempunyai asrama.

"Kita perlu melakukan libat urus dengan guru-guru dan Jabatan Perkhidmatan Awam (berhubung cadangan tersebut)," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Lindungi Diri dan Keluarga 2.0 di Universiti Malaysia Terengganu di sini hari ini.

Seminar anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia cawangan Terengganu bertemakan Pendidikan Seksualiti dan Salah Laku Remaja itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Dr. Noor Azuan Abu Osman dan Ketua Wanita Ikram Terengganu, Saidah Mamat.


Nie Ching berkata demikian sebagai mengulas cadangan NUTP sebagai respons keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Ahad lalu yang membenarkan tuntutan RM616,634.20 oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) yang menjadi mangsa buli pada empat tahun lalu. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment