Translate

Wednesday, October 9, 2019

Enam beradik yatim piatu sekelip mata

DUNGUN – Enam beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Kerteh 2 dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, Kamal Hisham Mustaffa Mohamad, 35, dan isteri, Norhapisah Idris, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dua anak pasa­ngan suami isteri itu yang turut mengikut mereka iaitu Muhammad Darwish Iqbal, 9, dan Muhammad Danish Irfan, 11, pula cedera parah pada kepala.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Alza iaitu Mohd. Zulkifli Ab. Aziz, 39, dan  Mohd. Suhaimi Mat Hasan, 22, pula cedera pada bahagian kaki.

“Kemalangan itu berlaku selepas kereta Proton Wira dipandu Kamal Hisham yang dalam perjalanan ke Felda Kerteh 2 dari Kampung Sura Hujung di sini dikatakan hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kereta itu kemudiannya bertembung dengan Perodua Alza,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Baharudin memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mayat Kamal Hisham Mustaffa dan Norhapisah yang tersepit di dalam kereta.

Katanya, mayat Kamal Hi­sham dan Norhapisah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala kesemua mangsa yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama.

Sementara itu, ibu saudara Kamal Hisham Mustaffa, Ramlah Jusoh, 67, berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang selepas mengambil Muhammad Darwish Iqbal dan Muhammad Danish Irfan dari asrama mereka di Sekolah Kebangsaan Pasir Raja dekat sini.
Empat lagi anak mereka iaitu Dayyainah Atirah, 3; Muhammad Daim Amin, 6; Muhammad Dhiyauddin Hisham, 8, dan Muhammad Danial, 12, tidak mengikut dan tinggal di rumah mereka di Kampung Sura Hujung.

“Selalunya mereka bawa ke­semua anak jika mahu ke mana-mana tetapi hari ini (semalam) pelik ditinggalkan pula,” kata­nya di Hospital Dungun.

No comments:

Post a Comment