Translate

Thursday, October 24, 2019

JBPM pertimbang beri anugerah kepada Narresh, Mohd. Hafizan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempertimbang untuk memberi anugerah kepada dua saksi Inkues Kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim iaitu R. Narresh dan Mohd. Hafizan Nordin.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata,  anugerah tersebut sebagai menghargai jasa Narresh dan Mohd. Hafizan yang telah bergadai nyawa membantu anggota bomba berkenaan sewaktu insiden rusuhan di sebuah kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

"InsyaAllah kita akan mempertimbangkan (anugerah kepada Narresh dan Mohd. Hafizan). Kita hargai semua pihak yang banyak membantu.

"Kita ada Jawatankuasa khas yang menilai apa-apa penganugerahan termasuk pingat bukan sahaja untuk (kakitangan) jabatan tetapi rakyat dan agensi lain," katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala Ketua Pengarah JBPM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sini hari ini.

Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu memutuskan kematian Muhammad Abib yang terlibat dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Mariamman berpunca daripada perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas meneliti dan menilai semua keterangan 30 saksi termasuk Narresh dan Mohd. Hafizan yang masing-masing merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bekas tentera.


Keputusan tersebut melegakan Narresh yang dikecam teruk manakala Mohd. Hafizan kehilangan pekerjaaan akibat insiden tersebut sekali gus membuktikan kebenaran keterangan mereka sepanjang inkues. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment