MOHD. AZLI ADLAN
MARANG - Tiga beradik yang menjadi yatim piatu tidak dapat melelapkan mata selama tiga hari lantaran terlalu rindu ibu bapa mereka, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, dan Surawati Mohd., 33, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 134, Jalan Kuantan - Seremban berhampiran Muadzam Shah, Rompin, Pahang pada Khamis lalu.
Nenek mereka, Zainab Mamat, 61, yang juga ibu Surawati berkata, Aryan Rizqy, 6; Areesh Razeen, 4; dan Arfaan Rakeen, 2, sering merengek teringat Allahyarham ibu bapa mereka dan masih trauma dengan tragedi berkenaan.
"Arfaan Rakeen yang masih menyusu badan asyik menyebut nama Mummy dan Daddynya. Buat masa ini, lima ibu saudaranya yang masih mempunyai anak kecil bergilir-gilir menjadi ibu susuannya.
"Areesh Razeen pula pagi semalam tiba-tiba memberitahu saya Mummy dan Daddynya datang menyuapkan kek kepadanya dan dua beradik lain. Saya yang tabah menerima berita kematian anak dan menantu sebelum ini hiba hingga mengalirkan air mata," katanya.
Terdahulu dia ditemui selepas menerima kunjungan 20 kakitangan Hotel Permai diketuai
Pengurus Besarnya, Noralizan Abdul Rahman di rumahnya di Kampung Gong Merawang, Rhu Muda di sini hari ini.
Selain menghulurkan sumbangan kepada anak-anak Muhammad Noor Idham yang merupakan kakitangan Hotel Permai, mereka turut meraikan ulang tahun kelahiran Aryan Rizqy ke-6 yang sepatutnya disambut kelmarin.
Sementara itu, Noralizan berkata, Aryan Rizqy dan adik beradiknya telah dijadikan anak angkat Hotel Permai demi kebajikan ketiga-tiga anak Allahyarham Surawati dan Muhammad Noor Idham berkenaan.
Kosmo! Online pada Khamis lalu melaporkan hajat Surawati merai sambutan ulang tahun kelahirannya dan anak sulung di Cameron Highlands tidak kesampaian apabila maut bersama suami dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 5 pagi. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment