Translate

Saturday, October 19, 2019

Bapa kudung kaki tak mengaku dera anak kandung

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa golongan kelainan upaya (OKU ) yang kudung kaki kanan dihadapkan ke Mahkamah Se­syen di sini semalam atas pertuduhan mendera anak lelakinya berusia tiga tahun di daerah Marang pada akhir bulan lalu.

Tertuduh (gambar) yang merupakan seorang pe­nganggur me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 39 tahun itu didakwa menganiaya anak lelakinya sehingga menyebabkan kecede­raan fizikal dan emosi di sebuah rumah di daerah Marang antara 12 hingga 24 September lalu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada lelaki tersebut dan menetapkan sebutan semula kes pada 5 November depan.

Kosmo! pada 27 September lalu melaporkan seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang disyaki didera bapa kandung berjaya diselamatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu di sebuah rumah di daerah Marang.

Mangsa diselamatkan kira-kira pukul 1 tengah hari dalam kea­daan mukanya lebam dan mulut bengkak.

No comments:

Post a Comment