Translate

Wednesday, October 16, 2019

Bapa durjana didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan memperkosa, melakukan seks luar tabii dan menghasilkan video pornografi anak kandung perempuannya yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran pada bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 41 tahun itu membuat pengakuan bersalah sebaik kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di daerah Marang pada pukul 11 pagi, 20 September lalu sebelum mengulanginya semula di beranda rumah sama pada pukul 5 pagi keesokan harinya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap anak sulung daripada dua beradik itu di lokasi sama pada pukul 11 pagi, 20 September lalu.

Dia didakwa mengikut Sek­syen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan keempat iaitu dakwaan menghasilkan video pornografi menggunakan telefon bimbit meliwat mangsa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Ke­salahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan maksimum enam sebatan jika sabit kesalahan.

Jamaludin menetapkan esok sebagai sebutan bagi mende­ngar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Perbuatan bapa kepada dua anak terbongkar itu selepas isteri­nya berusia 33 tahun menghantar mangsa anak sulung mereka untuk pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Marang setelah mengadu me­ngalami kesakitan pada kemaluan baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment