Translate

Wednesday, October 2, 2019

Suami panas baran pukul isteri dihukum penjara lapan bulan

KUALA TERENGGANU – Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang lelaki yang membelasah iste­rinya sehingga cedera pada muka dan badan akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Rohazan Hashim, 47, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Rohazan didakwa mencederakan isterinya, Norliani Mohd. Nordin, 40, di sebuah rumah di Flat Bukit Kecil di sini pada pukul 6.30 petang, 24 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan isterinya dikatakan telah berselisih faham berhubung masalah anak sehingga mereka bertengkar mulut.

Lelaki itu yang naik berang kemudian bertindak memukul mangsa sehingga bengkak pada muka, luka pada bibir selain beberapa kecede­raan lain pada badan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L. Rathna manakala Rohazan pula tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment