Translate

Tuesday, October 1, 2019

TFC IV juara Piala Belia

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club IV (TFC IV) muncul juara Piala Belia selepas menewaskan juara bertahan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS) dengan agregat 1-0 malam tadi.

Pada aksi perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini itu, TFC IV menang 1-0 hasil jaringan penyerang, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-62.

Sebelum itu, kedua pasukan pelapis berkenaan terikat 0-0 pada aksi akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 21 September lalu.

Kejayaan itu sebagai menebus kekecewaan TFC IV yang tumbang 1-2 kepada lawan sama, PKNS FC pada aksi akhir Piala Belia musim lalu.

Ia juga penawar kepada kekecewaan peminat bola sepak Terengganu selepas tiga pasukan senior, TFC yang terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia manakala TFC II dan TFC III pula masing-masing kecundang pada aksi separuh akhir Piala Cabaran dan Piala Presiden musim ini.

Terdahulu, TFC IV hampir memperolehi gol awal namun sepakan gunting penjaring terbanyak kejohanan, Muhammad Isa Raman terkena palang gol pada minit ke-10.


Pasukan pelawat pula memperolehi peluang terbaik pada minit ke-61 namun rembatan kencang Muhammad Hadi Mohamad gagal menembusi gawang TFC IV. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment