Translate

Thursday, October 3, 2019

Rampasan bot nelayan asing dilupus di tengah laut

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Operasi Naga secara bersepadu untuk membanteras pencerobohan hasil laut negara mula menampakkan kesannya dengan penahanan 128 bot nelayan asing dalam tempoh lima bulan sejak pelancarannya 24 April lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, Operasi Naga disasar dapat mengurangkan kira-kira 50 peratus kerugian akibat ketirisan hasil laut disebabkan pencerobohan nelayan asing berkenaan yang kini berjumlah RM6 bilion setahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, bagi menunjukkan mesej ketegasan kerajaan menangani isu tersebut, kesemua bot nelayan asing akan dilupuskan dengan cara menenggelamkannya sebagai tukun tiruan di perairan negara sebaik dilucut hak oleh mahkamah.

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak lapan bot nelayan asing yang dirampas menerusi Operasi Naga meliputi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan telah dilupuskan melibatkan nilai hampir RM12 juta.

"Ia termasuk lima bot nelayan asing yang ditenggelamkan hari ini. Langkah ini diharap memberi mesej jelas dan tegas kepada nelayan asing agar tidak lagi menangkap hasil laut secara haram di perairan negara.


"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memberi amaran kepada pemegang lesen (menangkap ikan) tempatan, jangan sesekali menjual dan menggadainya kepada bot (nelayan) asing," katanya selepas menyaksikan proses menenggelamkan lima bot nelayan berkenaan di perairan Pulau Marang dekat sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment