KUALA TERENGGANU – Sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang ditularkan dalam media sosial berada di sebuah kuil Hindu di bandar raya ini sebenarnya terlibat dalam aktiviti kajian lapangan bagi kursus Agama dan Masyarakat.
Ketua Pusat Pengajian Antropologi dan Dakwah, UniSZA, Mohamad Hafis Amat Simim berkata, pelajar tersebut merupakan jurusan Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) yang ditugaskan membuat penyelidikan berhubung praktis agama dan kepercayaan masyarakat.
Beliau berkata, kumpulan 13 pelajar yang kesemuanya beragama Islam itu memilih sebuah kuil di Kuala Terengganu bagi menjalankan kajian lapangan untuk memahami praktis agama Hindu.
“Mereka hanya bertindak sebagai penyelidik dengan melakukan aktiviti temu bual bersama responden dan tidak terlibat langsung dalam mana-mana ritual agama Hindu yang dilakukan di dalam kuil tersebut.
“Saya ingin menegaskan bahawa program penyelidikan yang dijalankan itu bersifat akademik dan tidak menyentuh mana-mana sensitiviti agama Hindu mahu pun Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Mohamad Hafis berkata demikian sebagai mengulas penularan gambar kumpulan pelajar tersebut di dalam kuil terbabit yang menerima kecaman segelintir netizen ekoran salah faham.
Beliau turut menjelaskan, program kajian lapangan itu mendapat persetujuan pengurusan kuil Hindu tersebut selain makanan yang disediakan kepada kumpulan pelajar berkenaan sepanjang aktiviti itu disediakan katering Muslim.
“Kursus ini diselia oleh profesor dan ahli akademik yang berpengalaman dalam bidang sains sosial. Ada juga pelajar dalam kursus sama mengkaji agama dan kepercayaan lain seperti Islam, Kristian, Yahudi dan Buddha,” katanya.
No comments:
Post a Comment