Translate

Wednesday, October 9, 2019

Bapa durjana dijel 40 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –  Seorang bapa menerima padah selepas tergamak merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak pe­rempuan kan­dungnya yang merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran pada bulan lalu.

Pemandu lori itu dijatuhi hukuman penjara selama 40 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Selain itu, lelaki berusia 44 tahun yang turut menghasilkan video pornografi perlakuan seks dengan mangsa yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik tersebut turut dikenakan 24 sebatan oleh Hakim Nooriah Osman.

Nooriah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan selama setahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 sebaik dibebaskan kelak.

“Sumbang mahram me­rupakan perbuatan amat keji dan terkutuk lebih-lebih lagi terhadap anak tertuduh yang merupakan OKU.

“Sepatutnya, tertuduh bertanggungjawab mendidik anak itu bukan mengambil kesempatan atas ketidakupayaannya. Ia meninggalkan trauma berpanjangan terhadap kanak-kanak,” katanya ketika membacakan penghakimannya semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun 11 bulan sewaktu kejadian di sebuah rumah di daerah Marang pada pukul 11 pagi, 20 September lalu sebelum mengulanginya semula di beranda rumah sama pada pukul 5 pagi keesokan harinya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga pula, lelaki itu didakwa me­lakukan persetubuhan di luar tabii terhadap kanak-kanak perempuan itu di lokasi sama pada pukul 11 pagi 20 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut menghadapi pertuduhan keempat iaitu dakwaan menghasilkan video pornografi meliwat mangsa dengan menggunakan telefon bimbit pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh didakwa me­ngi­kut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum enam sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, perbuatan lelaki itu terbongkar selepas isterinya berusia 33 tahun terlihat klip video perlakuan tersebut yang berdurasi lima minit sembilan saat di dalam telefon pintar milik suaminya pada 22 Oktober lalu.

Mangsa kemudiannya mengaku dipaksa bapa kandungnya untuk melakukan hubungan seks sejak berusia enam tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment