KONTINJEN Universiti Teknologi Mara ( UiTM ) Shah Alam muncul juara keseluruhan Karnival Sukan Mahasiswa (Karisma) UiTM XVI yang berakhir di Seri Iskandar , Perak semalam.
Mereka menamatkan saingan dengan meraih 39 pingat emas, 21 perak dan 23 pingat gangsa.
Pengarah UiTM Perak, Prof. Dr. Abdullah Mohamad Said berkata antara acara sukan yang diungguli kontijen tersebut ialah bola jaring, bola tampar lelaki, sepak takraw berpasukan, hoki lelaki dan ragbi selain turut membolot tujuh pingat emas daripada acara silat olahraga.
Katanya tempat kedua keseluruhan menjadi milik UiTM Pulau Pinang dengan lapan emas, 10 perak dan lapan gangsa manakala UiTM Perlis pula merangkul tempat ketiga dengan pungutan lapan emas sembilan perak dan 14 gangsa.
" UiTM Perak selaku tuan rumah juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berada di tempat kelima dengan lima emas sembilan perak dan 14 gangsa," katanya selepas merasmikan majlis penutup temasya tersebut semalam.
Temasya kali ini melibatkan 3,407 peserta terdiri daripada 2063 atlet lelaki dan 1344 atlet wanita dari 14 UiTM seluruh negara.
Pada temasya sukan khusus untuk pelajar UiTM itu, 26 acara sukan termasuk bola sepak, bola jaring, ragbi, hoki, bola keranjang, silat, futsal, golf, badminton, tenis, tenpin boling dan taekwondo telah dipertandingkan sejak 25 November lalu.
Abdullah menyifatkan penganjuran Karisma pada tahun ini berjaya mencapai objektifnya dan telah berjalan dengan penuh harmoni dan semangat kesukanan.
"Buktinya, buat pertama kalinya tiada sebarang pergaduhan dan bantahan rasmi dilaporkan sepanjang Karisma kali ini."
Kampus Pusat Pendidikan Antarabangsa UiTM (Intec) yang terletak di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor akan menjadi tuan rumah karnival sukan ini tahun depan.
No comments:
Post a Comment