IPOH - Tidak lama lagi, kira-kira 3,500 penduduk beragama Islam di Taman Medan Klebang Restu semakin mudah beribadat dengan adanya sebuah masjid tiga bulan lagi.
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Husni Hanadzlah berkata, Masjid Klebang Restu yang dianggar bernilai kira-kira RM2 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, masjid berkenaan merupakan terbesar di Parlimen Tambun dan boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
"Difahamkan sebelum ini, penduduk taman perumahan ini perlu ke masjid lain yang jauhnya kira-kira 10 kilometer untuk menunaikan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
"Diharapkan setelah siapnya masjid ini yang didirikan di atas tanah seluas 0.81 hektar, keperluan ibadat penduduk setempat dan sekitar semakin mudah terutama golongan warga emas," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan projek pembinaan masjid berkenaan yang turut dihadiri wakil kontraktor binaan terbabit, Ekram Builders Sdn. Bhd. di sini semalam.
Pembinaan dimulakan sejak Mac lalu kini sudah siap 53 peratus siap dan dijangka memerlukan tiga bulan lagi untuk siap sepenuhnya.
Husni berkata, lokasi masjid berkenaan strategik iaitu terletak di tengah-tengah taman perumahan, juga dirancang sebagai pusat aktiviti sosial dan masyarakat penduduk terbabit yang kebanyakan beragama Islam.
No comments:
Post a Comment