Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Gara-gara ibu bapa tidak mendaftarkan perkahwinan, tiga beradik 'menderita' lebih 20 tahun kerana gagal memiliki taraf kewarganegaraan.
Kaliamma Yusof Ali, 27, Mariama, 23, dan Mani, 21, dari Chemor dekat sini menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan mereka setelah permohonan untuk mendapat kad pengenalan sering ditolak.
Kaliamma berkata, ketiadaan sijil perkahwinan menyebabkan sijil kelahiran beliau dan adik-beradiknya tidak lengkap sekali gus menyukarkan proses mendapatkan kad pengenalan.
Beliau berkata, sijil kelahiran yang tidak mencatatkan keturunan dan taraf warganegara menyebabkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sukar memproses permohonan kad pengenalan mereka.
"Kami umpama pendatang asing di negara sendiri. Masalah tiada kad pengenalan ini telah menyebabkan kami ditimpa banyak masalah termasuk tidak mendapat pendidikan sempurna dan sukar mendapat pekerjaan.
"Saya gembira JPN adakan program seperti ini yang dapat membantu kami dan harap masalah ini akan selesai dengan segera," katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Operasi MyDaftar bersama-sama Mariama dan Mani di Dewan Bandaran di sini semalam.
Program anjuran JPN Perak itu bertujuan untuk membantu individu negeri ini yang mengalami masalah status warganegara gara-gara lewat mendaftarkan kelahiran dan kad pengenalan masing-masing.
Pada program itu, sebelum permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran masing-masing diluluskan, individu terlibat perlu mengemukakan dokumen sokongan dan ditemuduga oleh pegawai JPN.
Dianggarkan lebih 100 penduduk dari seluruh Perak menyertai program itu.
Kaliamma berkata, selain sekadar bersekolah hingga darjah empat, ibu kepada dua anak ini memberitahu masih gagal mendaftarkan perkahwinannya yang sudah mencecah usia 10 tahun gara-gara tidak mempunyai kad pengenalan.
Sementara itu, Mani yang bekerja sebagai buruh binaan memberitahu pernah dua kali ditahan pihak berkuasa gara-gara disangka Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) namun dibebaskan kemudiannya setelah menunjukkan sijil kelahiran.
No comments:
Post a Comment