Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
PULAU PANGKOR - Selain keindahan pantai dan hasil lautnya, Pulau Pangkor juga terkenal dengan khazanah sejarahnya termasuk Kota Belanda .
Kota tinggalan penjajah yang terletak di Kampung Teluk Gedung, selatan pulau peranginan itu merupakan antara destinasi yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong baik tempatan dan asing.
Namun, keadaan sebahagian anak tangga kayu kota berusia 328 tahun itu yang semakin uzur dan mereput membimbangkan pengunjung.
Seorang pelancong, Rohani Othman, 52, dari Melaka berkata, untuk ke Kota Belanda , pengunjung perlu menaiki anak tangga yang sebahagiannya diperbuat daripada kayu.
Beliau berkata, keadaan anak tangga itu agak uzur dan dikhuatiri tidak kukuh bagi menampung kehadiran pelawat yang agak ramai terutama pada musim cuti persekolahan.
"Sebenarnya ini adalah kali kedua kami sekeluarga ke Kota Belanda ini setelah membuat kunjungan pertama kira-kira 10 tahun lalu.
"Tak sangka pula ia tak jauh berubah, anak tangga kayu sama masih digunakan cuma mungkin kerana faktor usia dan cuaca, ia semakin uzur dan sebahagiannya mula mereput," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Seorang lagi pelancong, Shamsiah Yaakob, 22, dari Putrajaya menggesa pihak berkenaan terutamanya Majlis Perbandaran Manjung mengambil tindakan segera sebelum kejadian tidak diingini terjadi.
No comments:
Post a Comment