Oleh AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Kerajaan negeri berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada air sungai sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, sebaliknya mahu memanfaatkan potensi air bawah tanah .
Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jalamuddin berkata, ia dapat direalisasikan apabila fasa pertama projek penggalian air bawah tanah di daerah Batang Padang yang dikendalikan Sime Darby Berhad selesai pada 2010.
"Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini, daerah Batang Padang sememangnya kaya dengan sumber air bawah tanah yang selamat diminum dan sesuai dikomersialkan.
"Difahamkan menjelang 2010, 500 juta meter padu sumber air itu dapat diproses setiap hari. Oleh itu, kerajaan negeri berhasrat untuk memanfaatkan sebahagian daripadanya untuk disalurkan kepada rakyat melalui Lembaga Air Perak (LAP)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat perkembangan projek menggali air bawah tanah itu yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid di sini semalam.
Mohammad Nizar berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bekalan air bersih di negeri ini menjelang 2011 diperoleh daripada sumber baru itu.
Bagaimanapun katanya, pada masa depan penggunaan sumber air alternatif itu sebagai sumber air bersih negeri ini disasarkan mampu mencecah 60 peratus.
Dalam pada itu, Ahmad Zubir berkata, setakat ini Sime Darby telah mengenalpasti sekurang-kurang 97 tapak di sekitar Sungkai dan Ulu Slim yang berpotensi tinggi untuk digerudi bagi mendapatkan bekalan air bawah tanah .
"Buat masa ini, 50 telaga dalam kawasan estet milik Sime Darby di daerah berkenaan telah dikenal pasti dan kerja-kerja penggerudian baki telaga terbabit dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2010," katanya.
No comments:
Post a Comment