Translate

Wednesday, December 17, 2008

JPN 'halau' wartawan ketika Operasi MyDaftar

IPOH - Program Operasi MyDaftar anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak di Dewan Bandaran di sini semalam kecoh apabila pengamal media dihalang daripada membuat liputan.

Beberapa jurugambar yang sedang mengambil gambar perjalanan program yang bertujuan untuk membantu individu negeri ini yang mengalami masalah status warganegara, 'dihalau' oleh beberapa pegawai agensi itu termasuk Pengarahnya, Mohd. Sufian Omar.

Senario itu menyebabkan wakil media yang menerima undangan untuk membuat liputan program berkenaan terpinga-pinga menyebabkan Ketua Biro akhbar Tamil Nesan, S. Bala, 47, cuba memberi penjelasan.

Namun Mohd. Sufian enggan menerima penjelasan itu dan mendakwa keputusannya tidak membenarkan media membuat liputan program anjuran jabatannya kononnya kerana bimbang kenyataannya disalah tafsir.

Jawapan itu telah menyebabkan Bala yang juga Penolong Setiausaha Kelab Akhbar Perak naik angin dan 'bertegang leher' dengan Pengarah JPN itu.

"Kami (pengamal media) dijemput dan liputan hanya bertujuan memberi publisiti positif dan membuktikan JPN Perak 'buat kerja' membantu menyelesaikan isu melibatkan kepentingan ramai.

"Saya tak faham kenapa JPN Perak tidak benarkan liputan dibuat pada program awam yang juga diadakan di premis awam seperti ini," katanya.

Melihat reaksi Bala itu, Mohd. Sufian akhirnya membenarkan pengamal media menemuramah beberapa individu mempunyai masalah dokumen pengenalan diri yang terlibat dalam program itu.

Namun kebenaran untuk sesi temuramah itu hanya dibenarkan dibuat di luar Dewan Bandaran dan Mohd. Sufian enggan memberitahu apa-apa maklumat lain mengenai program berkenaan.

Sepatutnya Program Operasi MyDaftar itu dirasmikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tetapi difahamkan beliau tidak dapat hadir pada saat-saat akhir dan perjalanan program itu dipantau Mohd. Sufian.

No comments:

Post a Comment