Translate

Monday, December 8, 2008

73 pelajar asing UTP rasai kehidupan tradisi Melayu

TAIPING - Seramai 73  pelajar  antarabangsa Universiti Teknologi Petronas ( UTP ) teruja apabila berpeluang merasai kehidupan tradisional Melayu di Trong dekat sini selama lima hari berakhir semalam.

Mereka yang menyertai Program Misi Kesedaran (MAP) anjuran Majlis Perwakilan  Pelajar  (MPP) dan Unit  Pelajar  Antarabangsa, Jabatan Hal Ehwal  Pelajar  universiti tersebut turut menginap di rumah keluarga angkat masing-masing sepanjang program tersebut.

Salah seorang peserta, Batyr Emirhanov, 23, dari Turkmenistan berkata, penyertaannya dalam program berkenaan membolehkan beliau lebih memahami adat, budaya dan cara hidup masyarakat negara ini.

Beliau yang merupakan  pelajar  tahun tahun pertama Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia berkata, kesempatan bergaul dengan penduduk kampung terutamanya ahli keluarga angkat digunakan sebaiknya untuk menguasai bahasa Melayu.

"Sebenarnya saya akan mengambil subjek Bahasa Kebangsaan pada semester depan. Pada program ini, bolehlah saya buat serba sedikit persediaan dengan belajar beberapa perkataan bahasa Melayu mudah daripada penduduk setempat," katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang lagi peserta, Saidolim Saidankhrorov, 23, dari Uzbekistan pula tidak dapat melupakan pengalaman berharga belajar memasak lemang bersama-sama penduduk kampung.

"Saya belajar dari proses awal membersihkan buluh, memasukkan pucuk pisang dan beras pulut ke dalam buluh hingga ke proses membakar.

"Ternyata setelah dimasak, rasa makanan tradisional Melayu sungguh lazat," kata  pelajar  Sarjana Kejuruteraan Kimia berkenaan.

Sementara itu,  pelajar  Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Kimia, Nadia Riaz, 28, dari Pakistan berkata, beliau telah dibawa oleh keluarga angkatnya melawat beberapa tempat menarik di bandar Taiping seperti Hutan Paya Bakau Matang, Kolam Air Panas Perubatan Trong dan Kuala Sepetang dekat sini.

Beliau yang baru tiga bulan berada di negara ini bercadang untuk melawat tempat tersebut dan menziarahi keluarga angkatnya semula pada masa depan.

No comments:

Post a Comment