Translate

Thursday, December 25, 2008

Kekal status milik tanah

Oleh MOHD.  AZLI  ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kerajaan Perak tetap dengan keputusannya memberi status hak milik  tanah  pegangan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun biar pun masih tidak mendapat kelulusan Majlis  Tanah  Negara (MTN).

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Ngeh  Koo   Ham  mendakwa, keputusan itu tidak bertentangan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Berdasarkan Seksyen 76, Kanun  Tanah  Negara, kerajaan negeri boleh memberikan status hak milik  tanah  pegangan kekal atas tiga faktor termasuk kes-kes istimewa yang merupakan asas utama keputusan ini dibuat.

"MTN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk campur tangan dan sehubungan itu, kerajaan negeri mengarahkan semua pejabat  tanah  dan galian di negeri ini untuk memproses permohonan  tanah  berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut disertai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin di sini semalam.

Bagaimanapun,  Koo   Ham  memberitahu tindakan kerajaan negeri tidak bertujuan untuk membelakangi MTN dan oleh itu satu laporan mengenai perkembangan proses pemberian status  tanah  itu akan diserahkan kepada agensi terbabit dalam masa terdekat.

Mohammad Nizar pula memberitahu setakat ini, kerajaan negeri menerima 91 permohonan daripada penduduk dan semua permohonan itu dijangka diluluskan dalam beberapa hari lagi.

Oleh itu, beliau berharap penduduk kampung baru dan kampung tersusun lain dapat menghantar permohonan terbabit kepada PTG dalam kadar segera tanpa menghiraukan keputusan MTN.

Kelmarin Pengerusi MTN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan kerajaan negeri tidak boleh dilaksanakan sehingga ia diputuskan MTN.

No comments:

Post a Comment